Pesakit gastrik perlu jaga pemakanan sepanjang Ramadan

Kes pesakit yang datang ke klinik dan hospital disebabkan gastrik biasanya meningkat ketika bulan puasa. Ini disebabkan disiplin makan yang salah beberapa minggu sebelum dan ketika bulan puasa.

Gastrik ialah keadaan di mana jus usus dirembeskan dalam perut dan menghakis dinding perut serta menyebabkan radang pada dinding perut berkenaan. Untuk orang awam, gastrik biasanya disebut sebagai angin.

Biasanya, pesakit akan mengalami pedih pada bahagian ulu hati, iaitu bahagian tengah atas abdomen yang terletak di bawah tulang rusuk. Pedih ini juga dikatakan merebak ke bahagian tengah dada dan digambarkan seperti rasa terbakar pada bahagian itu.

Sakit ini juga boleh dirasa hingga ke bahagian belakang badan. Selain itu, pesakit akan sendawa dan membuang angin dengan banyak berbanding kebiasaannya. Pesakit juga mengalami pening, loya, muntah.

Ada beberapa pemakanan dan minuman yang boleh menyebabkan atau merangsang penghasilan jus usus untuk dirembeskan dengan banyak. Jus itu melebihi jumlah makanan yang perlu dicerna menyebabkan jus ini menghakis dinding lapisan dalam perut.

Makanan mengandungi kafein seperti kopi, minuman berkarbonat, makanan pedas, berlemak, kari dan minuman keras antara stimulus untuk jus usus dirembeskan dengan banyak.

Asap rokok sama ada perokok atau perokok pasif dan tekanan boleh juga menjadi penyebab selain ubat tahan sakit dan ubat tradisional yang mengandungi herba.

Adalah amat penting untuk merawat gastrik ini ketika masih di peringkat awal. Ini penting terutamanya jika simptom tadi bermula sebelum bulan puasa, untuk memastikan kita dapat menunaikan puasa penuh sepanjang bulan Ramadan.

Lazimnya, boleh dikawal dengan ubat gastrik terutama ubat yang boleh mengurangkan rembesan jus usus selain ubat yang boleh meneutralkan jus usus yang sedia ada dalam perut.

Jika simptom terutamanya sakit menjadi teruk atau muntah semakin kerap, adalah lebih baik jika rawatan lanjut diberikan di wad kecemasan dan seterusnya dirujuk ke pakar.

Ubat suntikan perlu diberikan jika perlu. Beberapa ujian pemeriksaan perlu dijalankan. Ini kerana ada beberapa jenis penyakit lain yang seakan gastrik dan boleh memudaratkan jika tidak dirawat dengan betul.

Ujian ultrasonigrafi atau pemeriksaan bahagian perut, ujian darah dan ujian elektrokardiografi untuk jantung perlu dijalankan untuk memastikan masalah utama hanyalah gastrik dan bukan penyakit lain.

Jika benar, satu prosedur iaitu OGDS atau endoskopi perlu dijalankan. Prosedur ini dilakukan dengan memasukkan satu kamera kecil melalui mulut dan melalui kamera itu dinding usus dapat diperhatikan dengan jelas dan mengenalpasti berapa banyak kawasan yang terbabit.

Selain itu, melalui endoskopi ini, pakar dapat memastikan tiada komplikasi seperti ulser dan pendarahan dalam usus berkenaan. Sampel daging usus juga akan diambil untuk memastikan gastrik itu disebabkan oleh jangkitan kuman atau bukan.

Jika gastrik dibiarkan dan menjadi luka yang lebih dalam, ia dipanggil ulser perut. Simptom ini hampir sama dengan gastrik, akan tetapi sakitnya lebih teruk dan najis boleh berubah menjadi hitam seperti arang.

Pesakit juga boleh mengalami muntah darah. Rawatan kecemasan dengan pemberian ubat dan endoskopi perlu dilakukan serta merta untuk memastikan tiada pendarahan yang banyak daripada luka pada ulser itu.

Bagi sesiapa yang menghidap gastrik, penting untuk menjaga pemakanan sepanjang bulan Ramadan nanti. Pastikan anda sahur untuk mengelakkan perut kosong dan tiada makanan yang boleh dicerna oleh jus usus.

Ketika berbuka, elak makanan yang boleh merangsang rembesan jus usus dengan banyak. Jika perlu, ubat untuk mengurangkan jus usus perlu diambil ketika sahur dan berbuka untuk mengawal pengeluaran jus itu.

Cuba untuk bertahan sehingga waktu berbuka terutama seminggu pertama bulan puasa. Jika anda gagal berpuasa penuh pada seminggu pertama, kemungkinan besar anda tidak akan berjaya puasa penuh sepanjang bulan Ramadan.

Previous post:

Next post: